M43Led
msgbartop
msgbarbottom

28 Aug 08 Pengemis Terlampau di Dang Wangi

Alkisah tersebutlah kisah seorang insan bernama Pak Kaduk. Adapun Pak Kaduk ini tidaklah mempunyai pekerjaan. Tetapi berlagaknya mengalahkan Menteri Besar Terengganu. Tetapi tidaklah dia mempunyai peluang untuk membeli kereta Mercedes Benz E-class seperti Menteri Besar Terengganu tersebut.

Tidaklah juga dia tinggal di Terengganu. Pak Kaduk tinggal di Shah Alam katanya. Baru sahaja mendapat pekerjaan di Kampung Baru, KL. Baru masuk kerja, tak dapat gaji lagi Pak Kaduk kata. Dengan muka sedihnya Pak Kaduk pun memulakan cerita sedihnya. Sungguh pandai Pak Kaduk ini.

Ceritanya motosikalnya rosak. Kiranya tayar pancit sahajalah. Tetapi tidak! Pak Kaduk cerita lagi cerita sedihnya. Motosikalnya rosak. Kena tukar sprocket dan rantai baru. Oh! itu bukan rosak namanya Pak Kaduk. Tapi adalah tidak dijaga dengan sempurna…

Tapi Pak Kaduk sedih juga. Pak Kaduk ada bini di rumah. Bini Pak Kaduk mengandung. Sedang menunggu Pak Kaduk di rumah. Pak Kaduk sedih… Menggeleng - geleng kepalanya berulang kali. Susah katanya. Orang di Kuala Lumpur tidak suka membantu orang dalam kesusahan. Sedih sungguh dengan nasib orang sudah di Kuala Lumpur ini.

Mungkin Pak Kaduk boleh bawakan usul ini ke Parlimen ya, bila Pak Kaduk jadi wakil rakyat nanti.

Pak Kaduk mengadu susah. Tolonglah dik… Pakcik ni nak pegi ambik motor tu je. Petang karang Pakcik datang balik bayar duit. Ish Ish Ish. Kesian sungguh pada Pak Kaduk ni.

Baiklah Pak Kaduk, jom kita pegi Bank. Saya bagi duit kat Pak Kaduk. Dalam hati niat nanti Pak Kaduk datang nak bayar ambik separuh ajerlah, separuh lagi bagi sedekah kat Pak Kaduk.

Pak Kaduk dengan gembiranya ambik duit pemberian itu. Terima kasih nak. Nanti petang Pakcik datang. Takpun nak boleh telefon no ni. Pak Kaduk ambik kertas tisu dan tulis perlahan - lahan. Tisu kan mudah terkoyak. Pak Kaduk ni pandai berjimat cermat.

Petang tu Pak Kaduk tak datang. Hujan lebat. Mungkin esok. Agaknya.

Minggu depannya. Sedang berjalan - jalan ke kereta. Ternampak iras - iras Pak Kaduk. Tapi Pak Kaduk tak perasan. Tak kenal agaknya. Pak Kaduk tegur orang. Tapi orang tu tak layan. Kesian PakKaduk.

Hari ini Pak Kaduk terus menerus menegur orang ramai. Tapi tetap tak dilayan. Kasihan Pak Kaduk. Hari ini mungkin genap sebulan agaknya Pak Kaduk berhutang duit dengan ku. Tidak disangka Pak Kaduk menegur ku pula. Dari atas tangga Pak Kaduk mengejarku ke bawah.

“Assalamualaikum Dik” Pandai pulak Pak Kaduk ni bagi salam ye. Panas je rasanya hati ni.

“Pakcik nak mintak tolong lah”

“Pakcik ingat lagi tak siapa saya ni” Tanya macam artis la pulak aku ni kan.

“Tak ingat. Pakcik nak mintak tolong. Pakcik nak ambik motor….” Tak dipedulikan soalan aku, dia dah mula cerita sedih Pak Kaduk dia tu.

“Pakcik betul - betul tak ingat siapa saya?”

“Tak ingat. Pakcik nak pinjam duit. Nak ambik motor pakcik kat kedai.”

“Pakcik… Dulu pakcik dah ambik duit saya dah, tak ingat?”

“Ye ke? Berapa?” Pak Kaduk buat muka sedih dia berlakon tak tahu. Tapi mungkin betul tak tahu ye. Dah berapa ratus orang dia jumpa sebelum jumpa aku balik kan ?

“Lima puluh ringgit Pakcik.”

“Ye… Pakcik nak sangat pakai duit ni… Motor pakcik…”

“Cukuplah pakcik yang haritu”

Aku langkah kaki. Aku sedih dengan pelbagai karenah manusia yang menipu. Mengambil jalan mudah untuk menyara kehidupan dengan menipu. Entah berapa ramai yang dia dah tipu tak tahulah. Satu hari seorang cukuplah.

Peringatan mudah ye, Pak Kaduk ini bertubuh kurus kering. Putih - putih sebenarnya tapi last aku jumpa dah gelap sikit. Dah banyak berjemur dengan sinar mentari kotor di kotaraya Kuala Lumpur ni agaknya. Selalunya pakai Cap. Modus operandi adalah motor dia rosak, dia tak cukup duit nak ambik motor dia.

Berhati - hatilah. Sesungguhnya Kuala Lumpur ini begitu kecil. Aku doakan semoga Pak Kaduk akan insaf, dapat pekerjaan yang sesuai, dapat beri makan anak bini dan dapatlah kiranya beli motor baru. Alhamdulillah.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan. Semoga Pak Kaduk dapat berpuasa di tengah - tengah panas terik kotor Kuala Lumpur.

Tags: ,



Reader's Comments

  1. |

    Mengalahkan pramugara terlampau je, huuhuh :p



Leave a Comment